Jarang ada berita yang menarik perhatian aku....tapi this one sangat menarik. Aku follow perkembangan dari semalam!
Kematian misteri
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@bharian.com.my
2010/08/04
sebelum - selepas
Bekas ADUN, pembantu ditemui mati dengan tembakan di kepala di lebuh raya
SUNGAI BULOH: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Kuala Selangor, Datuk Abdul Aziz Mohd Noor dan Naib Ketua Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Siti Rohana Ismat, ditemui mati dalam keadaan misteri dengan kesan tembakan di kepala, semalam.
Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Abdul Aziz, 64, dijumpai terkulai di tempat duduk pemandu kereta yang terbabas di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini, manakala Siti Rohana, 43, dalam keadaan terduduk di sebelahnya.
Dua tembakan dikesan di sebelah kanan kepala Siti Rohana, manakala satu tembakan pula di kanan kepala Abdul Aziz.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis masih menyiasat motif kejadian itu, tetapi tidak menolak kemungkinan seorang daripada mereka menembak pasangannya sebelum menembak diri sendiri.
Beliau berkata, polis menemui sepucuk pistol revolver .38 dengan masih berisi dua peluru, kepunyaan Abdul Aziz, di celah tempat duduk bahagian depan Toyota Caldina yang dipandu bekas ADUN itu.
“Mengikut beberapa saksi, kenderaan itu yang dalam perjalanan menghala ke Utara, hanya dinaiki kedua-dua mangsa dan terbabas ke lorong kanan sebelum merempuh penghadang lebuh raya di sebelah kiri,” katanya ketika dihubungi.
Khalid berkata, pemeriksaan mendapati tembakan itu dilepaskan dari dalam kereta kerana tiada kesan kenderaan itu ditembak dari luar, sebaliknya hanya remuk di bahagian depan akibat merempuh penghadang lebuh raya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. Kedua-dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk bedah siasat.
Jenazah Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam manakala jenazah Siti Rohana di Tanah Perkuburan Batu 7 1/2 Sungai Gulang-Gulang Tanjung Karang.
Abdul Aziz meninggalkan isteri, Siti Fatimah Mohd Noor, 62, serta dua anak perempuan, Norazilah, 40, dan Norazian, 37, kedua-duanya pensyarah universiti, serta seorang anak lelaki, Mohd Anis Hisham, 33, yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia.
Abdul Aziz yang juga Bendahari Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) Selangor, menjadi wakil rakyat dari 2004 hingga 2008 dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abu Hassan Omar pada 1997.
Siti Rohana pula adalah bekas pembantu peribadi Abdul Aziz dan sudah bercerai dengan suaminya, Abdul Aziz Hamim, 43, empat tahun lalu. Pasangan itu dikurniakan tiga anak - Izati Natasha, 20, Iliani Nazira, 14 dan Mohd Izat Emir, 9, yang tinggal bersama Siti Rohana di Tanjung Karang.
Bekas suami Siti Rohana ketika ditemui di HSB, bagaimanapun berkata beliau tidak tahu sejauh mana hubungan bekas isterinya dengan Datuk Abdul Aziz kerana sudah lama tidak berhubung.
Sementara itu, Mohd Anis berkata, kali terakhir beliau bertemu dengan ayahnya, kira-kira jam 9 pagi di kediamannya di Shah Alam.
“Bapa memandu sendiri kenderaannya ke pejabat di Petaling dan mungkin meletakkan kenderaannya di pejabat sebelum menumpang Siti Rohana untuk menghadiri program di Tanjung Karang.
“Bapa tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik, cuma bapa menjadi rapat dengan saya sejak beberapa hari lalu. Bapa seorang yang baik dan tidak mempunyai musuh,” katanya.
hurmm...mmg misteri kan...
ReplyDeletesangat sangat super duper misteri......macam2 teori ada
ReplyDelete